Selasa, 30 Oktober 2012

masalah virus

Ini merupakan masalah menjadi perbualan yang hangat di internet. Masalah virus sebenarnya berpunca dari sikap semulajadi manusia yang akhirnya mengalami kerugian pun manusia juga. Virus amat mudah merebak melalui internet terutamanya melalui email-email anda. Awas semasa membuka email dari sumber-sumber yang tidak di kenalpasti keselamatannya.
Virus juga mudah merebak melalui perkongsian disket dan penggunaan software pirate! Virus akan menyebabkan perjalanan PC anda akan terganggu atau mengalami kerosakan.

Apa yang boleh anda lakukan untuk mencegah komputer anda dari di jangkiti virus adalah dengan mendapatkan perisian antivirus terkini dan senantiasa updatekan perisian anda antivirus anda dengan definasi virus-virus terkini (biasanya update melalui internet). Terdapat banyak jenama perisaian antivirus yang terkenal dan boleh di harapkan (reliable). Di antaranya ialah Norton Anti Virus, PC-Cilin antivirus, Mc AFee antivirus dan Innoculan antivirus. Anda di syorkan untuk updatekan definasi virus terkini dari internet sekurang-kurangnya 2 minggu sekali. Beringat sebelum komputer anda terkena virus... Mencegah lebih baik dari merawati.




kesimpulan hardware maintenance

Penjagaan perkakasan komputer ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana penyelenggaraan secara berterusan dan penjagaan yang betul adalah penting untuk memastikan sistem komputer selamat daripada sebarang kerosakan yang serius yang akan melibatkan kos pembaikian yang tinggi. Ini dapat menjamin jangka hayat perkakasan akan lebih panjang.

Selain daripada itu, sikap kita sebagai pengguna komputer juga adalah tunjang utama yang memainkan peranan untuk perkakasan komputer ini akan bertahan untuk suatu jangka masa tertentu. Ini kerana jika kita tidak mementingkan kebersihan dan penjagaan rapi, kemungkinan besar perkakasan akan cepat rosak. Sebagai contoh cara penggunaan yang salah dan tidak mengikut peraturan penggunaan perkakasan boleh memendekkan jangkahayat perkakasan komputer.

Untuk kebaikan bersama, sediakan jadual yang sistematik dan tersusun dalam mengemaskini dan menyelenggara peralatan komputer. Seperti juga peralatan elektronik lain seperti mesin-mesin dikilang, kenderaan, dan pelbagai lagi, peralatan komputer juga merupakan mesin dan peralatan biasa yang harus diselenggara dan diservis untuk memastikan ianya sentiasa dalam keadaan baik dan beroperasi dengan lancar.
Apa yang penting, semua itu bergantung kepada sikap individu dan pengguna itu sendiri. Oleh itu, mulalah menanam sikap akan kesedaran kepentingan menyelenggara peralatan dan perkakas komputer untuk kebaikan kita juga.




Kesimpulan Computer Software Installation

Sebagai seorang pembantu juruteknik sistem komputer yang terampil cemerlang, kita hendaklah mahir dalam melakukan gerak kerja dan langkah-langkah kerja seperti yang kita telah pelajari dalam modul ini. Ini adalah sangat penting dan merupakan kemahiran asas dalam bidang sistem computer. Dengan kemahiran yang tinggi dan berterusan, kita dapat menyelesaikan masalah berkaitan dalam installasi perisian komputer.
Banyak manfaat dan kebaikan sekiranya kita mengetahui dan mahir dalam installasi perisian komputer ini. Selain dapat mengenalpasti masalah, kita dapat menyelesaikan dan membaikinya sendiri. Kos yang diperlukan untuk format contohnya, adalah agak mahal. Jadi, ia merupakan satu kerugian jika kita tidak tahu dan mahir. Kita terpaksa menghantar komputer ke kedai servis komputer atau meminta bantuan yang mahir untuk melakukannya. Sekiranya kita mahir pula, kita dapat membantu pengguna lain, dan boleh juga menjana pendapatan dengan menyediakan servis format komputer.
Oleh itu, sebagai pembantu juruteknik sistem komputer kita hendaklah sentiasa melakukan latihan yang berterusan untuk memastikan kita betul-betul mahir seiring dengan kepesatan dan perkembangan teknologi komputer yang semakin hari semakin canggih dan mencabar.

Definisi Rangkaian Komputer


Apa Itu Rangkaian Komputer?

Rangkaian Komputer adalah sekumpulan peranti, dikenali juga sebagai nod, yang berhubungan dengan media penghubung. Nod boleh terdiri dari komputer, pencetak atau lain-lain peranti yang menghantar dan menerima data yang dihasilkan oleh nod-nod lain dalam rangkaian. Media penghubung juga dikenali sebagai media komunikasi. Rangkaian yang pertama ialah pada sekitar akhir 1960-an dan awal 1970-an, iaitu ARPANET yang dibina oleh ARPA untuk Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat. Pada hari ini, terdapat pelbagai jenis rangkaian, antaranya rangkaian kawasan setempat (LAN) dan rangkaian kawasan luas (WAN). Rangkaian yang paling besar di dunia ialah Internet.



Rangkaian bermula dengan binaan yang kecil, dengan penyambungan lebih kurang sepuluh komputer dan satu pencetak. Teknologi yang wujud di masa itu menghadkan bilangan komputer yang disambung dan panjang kabel komunikasi yang boleh dibenarkan dalam rangkaian. Di awal tahun sembilan puluhan kabel komunikasi boleh ditarik sejauh kira-kira 600 kaki dengan penyambungan sebanyak lebih kurang 30 komputer sahaja. Rangkaian seperti ini sesuai untuk organisasi yang kecil dan dikenali sebagai rangkaian kawasan setempat (LAN). LAN biasanya menghubungkan peranti dalam satu pejabat atau satu bangunan. Satu LAN boleh dibina hanya dengan dua komputer dan satu pencetak sahaja atau boleh diperluaskan dalam satu bangunan dengan memasukkan perisian audio dan video. Saiz LAN adalah terhad kepada jarak beberapa kilometer sahaja. LAN mempunyai kadar data daripada 4 Mbps sehingga 100 Mbps.

Perhubungan pengguna rangkaian dari berlainan negara telah mewujudkan perkembangan LAN kepada rangkaian kawasan luas (WAN). WAN boleh menghantar data, audio dan video pada jarak yang jauh sehingga merangkumi sebuah negara atau benua atau seluruh dunia.
Berikut adalah beberapa kelebihan rangkaian komputer:
  • Perkongsian Maklumat
  • Perkongsian Sumber Perkakasan
  • Perkongsian Sumber Perisian
  • Utusan Elekronik (E-Mail)
  • Keselamatan Data
  • Sokongan 

kepentingan teknologi maklumat dan komunikasi (ict)

KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI [ICT]


Dalam era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat penting. Teknologi ini sudah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir setiap saat orang menggunakan teknologi ini dan dengan teknologi jugalah menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di hujung jari sahaja.  Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan dalam arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan ICT ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.

Sesuatu perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta keburukan. Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau kepentingan kepada pengguna. Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara ke arah lebih sistematik dan teratur.  Segala urusan baik kerajaan mahupun swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri. Kegunaan ICT sememangnya cukup mendewasakan Malaysia.  Pentadbiran negara dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan itu, Malaysia akan lebih cepat mencapai wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini. Sebagai analoginya, kerja pengurusan dokumen, permohonan dan sebagainya menjadi tepat dan cekap.  Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan disimpan dengan segera tanpa membuang masa. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) dan Internet membolehkan kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan lancar.  
Satelit
Jika ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam pentadbiran dan pengurusan negara, malah ICT penting dalam ramalan cuaca dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk kepada kedudukan bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa belayar.  Jika dahulu ada yang merujuk  keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca ataupun mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya satelit cuaca, fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Melalui satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita dapat meramalkan keadaan cuaca dunia. Persediaan awal dapat kita buat untuk mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan nyawa.  Banjir, ribut taufan, tsunami, dan gempa bumi adalah antara contoh fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai manusia perlu untuk mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana kita perlu sediakan payung sebelum hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat itu, kita dapat membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit aeronautik (USA) dapat menghubungi kapal terbang yang melintasi Lautan Atlantik dan Pasifik.  Teknologi komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem pengangkutan udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan pelayaran. Sistem Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi masalah di samping berfungsi sebagai panduan.
Hubungan Antarabangsa
Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan yang penting kepada dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila ICT mempercepat hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi semakin kecil dengan wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia. Perkara ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan.  Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja sama ada di laman sembang, e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan sebagainya. Kita juga dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menggunakan telefon bimbit. 
Bukan itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga dapat diikuti dengan serta-merta  seperti siaran langsung konsert artis popular, perlawanan bola sepak dunia dan siaran berita mutakhir. Acara sukan, persidangan dan sebagainya yang berlangsung di sesebuah negara seperti di Korea di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara langsung.  Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro, telefon, faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung pada ICT untuk membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba turut berfungsi melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan pembuka laluan yang luas kepada masa depan yang gemilang.
Pembelajaran Berbantukan Komputer
Kewujudan ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P). Sistem pendidikan di sekolah dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk melakukan kerja atau projek-projek di sekolah.  Pelajar akan belajar mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer. Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh. Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih ramai cendekiawan.  Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang baru berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh lebih baik daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat dipelajari melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.

Sehubungan dengan itu, selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara. Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang, dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak dihantar secara terbuka, hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak yang bernama Nurin ditemui. Kes penculikan kanak-kanak tersebut pernah menggegarkan seluruh Malaysia.  Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang menyayatkan hati, tetapi dengan adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg yang terkandung mayat kanak-kanak tersebut. Dengan CCTV juga, kes disiplin yang berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak sekolah.

Bertitik tolak dari itu, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara bergantung pada kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan Koridor Raya Multimedia (MSC) sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba masanya untuk negara Malaysia berjaya di peringkat kebangsaan mahupun serantau. MSC memainkan peranan penting untuk menjadi pemangkin kemajuan ICT di Malaysia. Untuk menjayakan harapan ini, semua pihak tidak kira pihak kerajaan ataupun pihak swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat bagai aur dengan tebing, sehati seia  untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke pentas dunia.

Isnin, 22 Oktober 2012

kesan-kesan teknologi maklumat

Kesan-Kesan Teknologi Maklumat (ICT)

Zaman beralih dan musim berubah. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dari zaman falsafah ke Zaman Renaissance, bertukar pula ke zaman industri dan zaman atom, kini sampailah pada hari ini yang disebut dengan zaman teknologi maklumat (ICT). Dalam setiap zaman yang dilalui oleh manusia telah menempuh pelbagai cabaran dan seyogianya manusia memperoleh pelbagai input baharu. Daripada pelbagai sumber pengetahuan, penemuan bidang ICT telah berjaya menginjak tamadun dunia kepada situasi yang lebih kompetitif. Teknologi ICT telah mewajarkan manusia mencapai pelbagai kemajuan lebih-lebih lagi dalam bidang ilmu pengetahuan dan maklumat yang paling canggih. Sesungguhnya, kemajuan teknologi ini meninggalkan pelbagai implikasi atau kesan sama ada implikasi yang positif atau negatif.

Kehadiran teknologi maklumat merupakan anugerah istimewa kepada dunia pendidikan. Tugas mendidik menjadi mudah, cepat dan berkesan dengan adanya teknologi maklumat. Seluruh dunia telah menjadi seolah-olah sebuah kampung elektronik dengan adanya teknologi ini. Keupayaan menghantar, menerima dan memproses maklumat telah dapat diperluas. Penerimaan ilmu tidak lagi melalui perantaraan antara guru dengan pelajar sahaja, malah dilakukan dengan menggunakan komputer dan bilik darjah bukan lagi disempadani batu-bata dan kayu, sebaliknya alam maya. Contohnya, cara hidup di Cyberjaya yang disiarkan melalui iklan di surat khabar menjelaskan hakikat ini. Iklan tersebut berbunyi, “Jika anda sakit dan tidak dapat menghadiri sekolah, kami akan menghantar guru ke rumah anda!” Iklan tersebut memaparkan gambar seorang budak yang sakit menggunakan komputer untuk meneruskan pelajarannya tanpa perlu pergi ke sekolah. Begitulah kelebihan teknologi maklumat dalam bidang pendidikan.

Selain itu, dari segi ekonomi, urusan perniagaan dapat dijalankan dengan efektif dan efisien dengan adanya kemudahan maklumat ini. Dunia hari ini heboh tentang e-niaga iaitu cara perniagaan melalui elektronik. Syarikat-syarikat e-niaga muncul seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Hampir semua perniagaan sekarang mengiklankan alamat laman sesawang mereka beserta alamat mel elektronik atau e-mel. Kini, istilah www.sesuatu.com.my bukan lagi satu perkara yang asing. Pelbagai barang dan perkhidmatan dijual dan dibeli melalui internet, bukan sahaja dari peringkat glokal malah dari seluruh pelosok global ini. Syarikat-syarikat Malaysia juga tidak ketinggalan dalam hal ini malah tidak beberapa lama dahulu ada berita di surat khabar yang mengkhabarkan seorang suri rumah tempatan mengambil pesanan nasi lemak melalui e-mel. Jadi, jelaslah bahawa perkembangan teknologi maklumat membawa kesan positif dari aspek perniagaan.

Di samping itu, kemajuan teknologi maklumat juga meningkatkan kualiti dan produktiviti keluaran industri kita. Perkembangan teknologi maklumat secara langsung atau tidak membantu meningkatkan produktiviti manusia. Semua kerja dapat dijalankan dengan cepat, tepat serta dengan kesilapan yang amat minimum. Umpamanya, dengan adanya e-mel, sesuatu maklumat dapat dihantar dengan cepat melewati batas sempadan negara, masa dan ruang. Tanpa teknologi maklumat, kita tidak dapat bersaing di pasaran antarabangsa. Produk kita akan dicap sebagai ketinggalan zaman. Mujurlah, kerajaan Malaysia siang-siang lagi telah memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi maklumat. Hal ini dapat dibuktikan ketika Bill Gates, insan terkaya di dunia melawat Koridor Raya Multimedia atau lebih dikenali sebagai Multimedia Super Corridor (MSC) di kawasan seluas 750 kilometer persegi, dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) hingga ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau memuji Malaysia sebagai negara yang paling serius dalam membangunkan pusat multimedianya. Oleh itu, terbuktilah bahawa pembangunan teknologi maklumat membolehkan Malaysia berdiri sama tinggi, dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain.

Dari segi sosialnya pula, pembangunan teknologi maklumat mengeratkan hubungan antara rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sama ada yang berada di dalam negara atau yang berada di luar negara atas urusan pelajaran atau perniagaan dapat berhubungan dengan ahli keluarga dan sahabat handai pada bila-bila masa. Mel elektronik boleh diterima dan dihantar dari mana-mana pelosok dunia. Maklumat, berita, ucapan dan pandangan dapat disalurkan agar rakyat dapat membuat keputusan yang rasional dalam kehidupan seharian. Hubungan melalui mel elektronik bukan sahaja mudah malah jauh lebih murah daripada panggilan telefon dan jauh lebih pantas daripada penghantaran surat. Selain itu, hubungan antara negara terutamanya pemimpin politik dan tokoh perniagaan juga berjalan lancar melalui internet. Semangat persefahaman dan kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan rakyat pelbagai negara dan berbilang kaum. Bukankah teknologi ini satu anugerah yang tiada tolok bandingnya?

Walau bagaimanapun, pembangunan pesat teknologi maklumat tidak bebas daripada implikasi negatifnya. Internet hari ini lebih menjurus kepada aspek-aspek negatif yang boleh menggugat keamanan negara. Maka, tidak hairanlah apabila terdapat sesetengah pihak yang menggunakan teknologi ini untuk yang menyampaikan khabar yang tidak berasas dan berbaur fitnah. Di Malaysia sendiri, ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kemudahan internet untuk menyebarkan khabar-khabar angin. Contohnya, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa akan berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei, 1999 di Chow Kit, Kuala Lumpur yang disebarkan melalui internet pada suatu ketika dahulu. Khabar angin ini pasti mempengaruhi rakyat untuk bertindak di luar batasan kemanusiaan. Semua ini boleh membawa kemudaratan kepada negara kita sendiri. Sekiranya kerajaan tidak mengawasi pergerakan golongan yang berniat jahat ini, keadaan anarki mungkin terpaksa dihadapi oleh negara dan rakyat kita. Aspek negatif internet inilah yang sukar dibendung oleh sesiapa.

Teknologi maklumat juga menjadi wahana penyebaran unsur-unsur lucah terutamanya dalam kalangan generasi muda. Gambar dan bahan pornografi mengisi kebanyakan daripada ruang maya dalam internet. Remaja yang mendahagai pengetahuan seks dijadikan sasaran utama peniaga-peniaga bahan porno ini. Pengusaha-pengusaha ini yang bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing ingin mengaut keuntungan besar dengan memberikan perkhidmatan berunsur seks mereka itu dengan mengenakan bayaran sehingga RM50.00 sejam. Masalah ini juga merebak dengan cepat bagai belut diketil ekor dalam kalangan pelajar sekolah tidak kira lelaki atau perempuan. Hal ini turut memeningkan kepala para guru dan ibu bapa. Hampir semua pelajar sekolah hari ini terdedah kepada ancaman negatif ini. Kewujudan kafe siber di merata-rata tempat memburukkan keadaan lagi. Kafe-kafe ini merupakan pusat perkembangan dan perkongsian maklumat negatif dalam kalangan remaja dan belia. Sesungguhnya, teknologi maklumat sememangnya menyebarkan unsur-unsur lucah dan meningkatkan kebejatan akhlak remaja kita.

Sebagai penutup bicara, teknologi maklumat membawa pelbagai kebaikan, namun pada masa yang sama memberi laluan kepada aneka keburukan yang mampu melanda negara kita. Jadi, sebagai pengguna yang bijak kita tidak harus menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat ini. Semua pihak harus bersinergi bagai aur dengan tebing dan mengambil langkah sederap untuk memastikan tiada unsur negatif yang berlaku seiring dengan ledakan teknologi berinformasi ini. Sudah menjadi tugas kita bagi mengambil yang jernih dan membuangkan yang keruh. Semoga impian negara untuk melahirkan masyarakat yang maju dan berinformasi tercapai bagi memudahkan negara merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020. Sesungguhnya Saidina Ali Abi Talib pernah berkata bahawa manusia yang berdagang dengan ilmu maka ilmunya akan bertambah tetapi apabila manusia berdagang dengan harta maka hartanya semakin berkurang.

fungsi-fungsi teknologi maklumat dan komunikasi

FUNGSI-FUNGSI TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI
Teknologi ini wujud sebagai satu perantaraan untuk mengedarkan pelbagai jenis maklumat untuk tujuan yang berlainan. Contohnya bagi pendidikan, pengiklanan, pemberitahuan, telekomunikasi dan sebagainya untuk memperoleh maklumat, menyimpan maklumat, mengambil semula maklumat, memproses maklumat dan menyebarkan maklumat.
  1. Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dapat membantu pengurus pendidikan dalam membuat keputusan, menyesuaikan diri dengan perubahan dan selanjutnya dapat meningkatkan komunikasi dalam organisasinya. Hakikatnya ICT sangat membantu dan menolong mereka (pengurus sekolah) untuk berfungsi dengan lebih cekap, berkesan, mudah, cepat dan membuat keputusan yang baik yang melibatkan maklumat, proses dan kerja seperti pendaftaran pelajar, pelbagai rekod, kawalan inventori, jadual waktu, opsyen guru, bilangan waktu mengajar, hal yang berkaitan peperiksaan, pembelian stok dan sebagainya. Ini bersesuaian dengan pendapat Laudon dan Laudon ( 1997 ) yang menyatakan sistem maklumat dan komunikasi adalah komponen-komponen yang bersepadu yang mengumpul dan menyimpan maklumat bagi membantu organisasi membuat keputusan, merancang, mengawal dan menganalis.
  2. Guru-guru juga boleh memperolehi maklumat daripada pelbagai sumber melalui ICT untuk tujuan pembelajaran dan pengajaran ( P & P ) dan tahu menggunakan teknologi komunikasi seperti CD Rom, cakera padat, video, komputer, komputer bimbit, dan perisian-perisian aplikasi komputer seperti e-mail, pengkalan data, pemprosesan perkataan, hamparan eletronik, internet, perisian persembahan dan lain-lainnya.Menurut Stair dan Reynolds ( 1999 ), tujuan utama sistem maklumat dan komunikasi adalah untuk membantu organisasi mencapai matlamat-matlamatnya dengan membekalkan pengurus-pengurus dengan “insight” ke atas operasi organisasi supaya mereka dapat mengawal, mengelola dan merancang dengan lebih berkesan dan lebih cekap.
  3. Pendidikan jarak jauh dibolehkan dengan wujudnya rangkaian pendidikan yang lengkap. Tren semasa semakin menampakkan masa depan pengajaran dengan cara jarak jauh tetapi ini tidak bermakna pendidikan konvensional perlu dihapuskan sama sekali. Sesetengah daripadanya perlu dikekalkan bagi membolehkan pelajar membelajari kemahiran tertentu yang tidak boleh diperolehi melalui teknologi maklumat. Contohnya cara persembahan menggunakan komputer amat berbeza dengan cara konvensional. Namun kita tidak harus bergantung sepenuhnya kepada komputer dan melahirkan golongan yang tidak mampu berinteraksi tanpa komputer.
  4. Masda kini, semakin banyak bahan-bahan ditukarkan kepada bit-bit dalam komputer. Penukaran ini akan mencetuskan perubahan yang besar dalam penggunaan ruang di bandar. Misalnya penduduk bandar tidak perlu berada di sesuatu lokasi tetapi dapat merasai situasi tersebut melalui internet. Kes yang sama berlaku terhadap perpustakaan, apabila lebih banyak teks ditukarkan dalam bentuk bit. Pelajar atau penduduk tidak perlu sampai ke perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan tersebut.
  5. Perdagangan elektronik ditakrifkan sebagai penggunaan telekomunikasi atau rangkaian yang luas untuk melaksanakan pemindahan kewangan. Dengan berkembangnya perkhidmatan sedemikian pada masa depan, pengguna tidak perlu melangkah keluar dari rumah untuk membeli-belah. Di samping itu, mereka boleh membeli-belah 24 jam sehari tanpa gangguan kesesakan, cuaca dan jurujual yang membosankan. Selain itu, lokasi juga tidak menjadi masalah kerana perkhidmatan yang dibekalkan akan menjamin pembelian tersebut dijalankan dengan senang. Halangan yang wujud cumalah kos penghantaran yang mahal bagi lokasi yang jauh.
  6. Dengan adanya rangkaian teknologi maklumat juga membolehkan aktiviti perbankan dan pasaran dijalankan. Ini akan memberi pengaruh yang besar ke atas guna tanah kawasan perdagangan pusat. Aktiviti tersebut sentiasa berkait dengan kesesakan di lokasi perletakan bank atau bursa saham. Namun dengan adanya rangkaian maklumat yang membolehkan aktiviti tersebut dijalankan dengan selamat maka penduduk bandar dengan sukarela akan memilih rangkaian tersebut berbanding dengan cara konvensional yang tidak berkesan serta membazirkan masa dan tenaga.